28/06/2025
Common Sense Yang Hilang Dalam Kalangan Pekerja Generasi Terkini
Dulu, sebelum seseorang diterima bekerja, ibu ayah mereka akan pesan: “Datang kerja awal, jangan main telefon, hormat orang tua, jangan banyak cakap kalau belum pandai.” Pesan-pesan ini bukan sekadar nasihat lapuk ia adalah asas common sense yang membentuk disiplin kerja. Tapi hari ini, nilai-nilai asas ini semakin kabur. Bukan semua, tapi ramai dalam kalangan pekerja generasi terkini seolah-olah datang kerja bukan dengan semangat, tapi sekadar menagih gaji.
1. Datang Kerja Tepat Waktu Itu Bukan Pilihan
Common sense pertama yang semakin pupus, datang kerja awal atau tepat waktu. Ramai yang datang lewat tapi masuk pejabat muka selamba. Bila ditegur, alasannya trafik, sakit perut, tertinggal kunci. Sedangkan pekerja yang berintegriti akan tahu: kalau sanggup ambil tanggungjawab kerja, sanggup juga disiplinkan diri dengan masa.
2. Telefon Bukan Tangan Ketiga
Zaman ini, telefon pintar lebih sibuk daripada pekerjanya sendiri. Di kaunter, depan pelanggan, pun sempat ‘scroll TikTok’. Common sense sepatutnya bisikkan: “Kalau kau dibayar untuk kerja, buatlah kerja dulu.” Pelanggan bukan datang nak tengok kau replay IG story 6 kali.
3. Jangan Biar Majikan Ajar Cara Fikir Logik
Benda mudah pun perlu diajar contoh, cawan pecah, terus tinggalkan macam tu. Sampah penuh, tapi tak buang sebab “bukan kerja saya.” Ini bukan isu latihan, ini isu akal. Common sense sepatutnya buatkan seseorang nampak kerja sebagai amanah, bukan hanya tugas yang tertulis atas kertas.
4. Tak Tahu Tak Bermakna Tak Boleh Tanya
Sikap “buat je walaupun tak tahu” dah banyak rosakkan sistem dan kerja orang lain. Tapi lebih parah, bila ditegur, jawabnya “Saya ingat boleh…” atau “Saya tak pasti tapi saya cuba je.” Sedangkan pekerja yang matang akan tanya dulu, bukan buat dulu dan harap tak kantoi.
5. Hormat Itu Tak Kena Ajar Dalam Manual HR
Common sense mengajar kita hormat orang lebih tua, hormat pelanggan, hormat sesama rakan sekerja. Tapi sekarang, nada suara tinggi, bahasa santai melampau, dan sikap sambil lewa makin jadi budaya. Kita bukan mintak tunduk, tapi cukup dengan adab.
6. Gaji Itu Bukan Hak Tanpa Amanah
Ada pekerja, baru seminggu kerja, dah tanya “Bila nak naik gaji?” Padahal belum lagi faham sistem kerja. Common sense akan kata: “Tunjukkan nilai, baru minta nilai.” Tapi kini, ada yang masuk kerja dengan mentaliti ‘gaji dulu, prestasi nanti’.
7. Kerja Bukan Sekadar Duduk, Tapi Menyumbang
Bila bos tak ada, kerja pun ‘tak ada’. Bila bos tegur, baru nampak rajin. Ini simptom pekerja yang hilang common sense tentang integriti. Mereka lupa, kerja itu bukan semata-mata untuk orang nampak, tapi untuk diri sendiri jadi manusia yang bertanggungjawab.
8. Feedback Bukan Serangan Peribadi
Tegur sikit, terus tarik muka. Salah sikit, terus kata “bos tak s**a saya.” Generasi sekarang ramai yang terlalu rapuh. Padahal common sense sepatutnya ajar: teguran itu peluang belajar, bukan hukuman untuk benci.
9. Tak Semua Perkara Perlukan 'Reward'
“Takde siapa pun puji saya.” “Tak dapat apa-apa pun walaupun saya buat lebih.” Ini antara ayat biasa bila pekerja rasa tak dihargai. Tapi common sense yang hilang ialah: buat sesuatu sebab itu betul, bukan semata-mata nak validasi.
10. Kalau Tak Minat, Jangan Menyusahkan Orang Lain
Akhir sekali, ramai masuk kerja bukan sebab minat atau ikhlas tapi sebab nak ‘ada kerja je dulu’. Tapi kesannya besar: mereka akan jadi beban, bukan tulang belakang. Common sense akan bisikkan: “Kalau tak nak buat betul-betul, jangan ambil ruang orang lain yang betul-betul nak bekerja.”
Akhir sekali,
Common sense bukan ilmu tinggi. Tapi bila ia hilang, habis runtuh segala sistem. Pekerja jadi beban, bos jadi mangsa, pelanggan jadi kecewa. Zaman berubah, teknologi canggih tapi kalau nilai asas kerja dan adab tak dibawa sekali, kita sedang bina tempat kerja yang rapuh dan mengecewakan.
Kita tak minta sempurna. Tapi cukup jika setiap pekerja ada common sense kerana itu lebih mahal dari sijil.
Kredit kepada penulis:
Dr Md Azhari Md Zhahir