05/03/2026
BIL 2/2026: MESYUARAT JAWATANKUASA PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG (JPKK) T**I GANTUNG
2.50 Petang | 5 Mac 2026
Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) T**i Gantung kali kedua telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung T**i Gantung dengan kehadiran ahli jawatankuasa kampung. Mesyuarat tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Kampung, Encik Yusoff Ramli yang menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan kampung sentiasa terpelihara.
Sepanjang mesyuarat berlangsung, beberapa perkara penting telah dibincangkan termasuk isu-isu semasa yang melibatkan kebajikan penduduk, kemudahan awam serta perkara-perkara berbangkit daripada perbincangan sebelum ini. Ahli jawatankuasa turut memberi pandangan dan cadangan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Selain itu, pihak JPKK turut meninjau keadaan surau di Kampung Sepakat Jaya yang dilaporkan mengalami beberapa kerosakan. Tinjauan ini dilakukan bagi mengenal pasti tahap kerosakan serta merancang tindakan segera yang perlu diambil bagi memastikan kemudahan ibadah tersebut dapat digunakan dengan selesa oleh penduduk setempat.
Mesyuarat turut membincangkan mengenai persiapan penganjuran pertandingan memancing tertutup peringkat Kampung T**i Gantung yang dijangka berlangsung pada 11 April 2026. Program tersebut akan membawa tema 'Hari Raya' dan diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung di samping memeriahkan suasana selepas sambutan Aidilfitri.
Dalam pada itu, Ketua Kampung T**i Gantung, Encik Yusoff Ramli turut menjemput orang ramai yang berkelapangan untuk hadir ke Majlis Berbuka Puasa yang akan diadakan pada 7 Mac 2026 di Surau Othmaniah Parit 9. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama JPKK T**i Gantung dan PPK Bota/Lambor.
Mesyuarat berakhir sekitar jam 3.50 petang dengan harapan agar kerjasama serta usaha memajukan kampung dapat diteruskan secara berterusan demi kesejahteraan komuniti setempat.
'Kampung Kita, Wajah Kita'