22/05/2026
Telah selesai dengan jayanya, Bengkel Semakan Akhir Pelan Pengurusan Bencana dan Prosedur Operasi Standard bagi Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Negeri Pahang 2026 yang berlangsung sepanjang 3 hari 2 malam bermula 19 hingga 21 Mei 2026, bertempat di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, Terengganu.
Bengkel ini telah disertai oleh barisan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, diketuai oleh YBrs. Dr. Mohd Rahim Sulong, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) (TPKN KA), JKN Pahang dan 25 orang PPKA termasuk Ketua-ketua Unit Kesihatan Awam di ibu pejabat, Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah (MOH), Pegawai-pegawai Kesihatan Epidemiologi dan Pegawai Pascasiswazah MPH/DrPH yang sedang menjalani latihan sangkut di beberapa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri Pahang.
Bengkel dengan objektif memuktamadkan deraf Pelan Pengurusan Bencana Negeri Pahang, Prosedur Operasi Standard (SOP) Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC) Negeri dan 3 lagi dokumen berkaitan Pasukan Perubatan, Pasukan Kesihatan & Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) tersebut turut dijadikan platform Retret Kepimpinan dengan mengundang mantan pemimpin JKN Pahang yang terdahulu, YH Dato’ Dr. Mohamed Sapian Mohamed untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan khidmat nasihat kepada barisan PPKA JKN Pahang dalam meneruskan legasi kepimpinan Kesihatan Awam di negeri Pahang.
Sesi perkongsian tersebut kemudiannya disertai oleh YH Dato Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad, Pengarah Kesihatan Negeri (PKN) JKN Terengganu, dan TPKN KA JKN Pahang sendiri sebagai panel untuk Sesi Temu Bual Santai bersama barisan pemimpin Kesihatan Awam yang dikendalikan oleh moderator Dr. Aladin Mohamed, MOH, PKD Bentong.
Sesi temu bual ringkas berdurasi dua (2) jam tersebut turut disertai barisan PPKA dari JKN Terengganu sejumlah 18 orang, di mana selain mendengar para panel berkongsi pengalaman, para peserta juga berpeluang bertukar buah fikiran dan melontarkan pandangan dari sudut pandang masing-masing berkaitan isu semasa Kesihatan Awam yang kian mencabar mutakhir ini.
Hari terakhir bengkel anjuran Unit Survelan, Bhg. Kesihatan Awam, diketuai oleh Dr. Raja Nurul Najwa Raja Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Survelan Negeri ini turut diserikan dengan sesi riadah sukan pantai antara kumpulan sebelum sesi rumusan dan penutupan bengkel dirasmikan oleh YBrs. TPKN KA JKN Pahang. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang! Semoga aturcara bengkel sebegini bukan sahaja mampu mencapai objektif penganjurannya malah turut mengukuh semangat kerja berpasukan dan memupuk budaya persaingan sihat dalam kalangan barisan PPKA JKN Pahang demi kesinambungan legasi kepimpinan Kesihatan Awam yang cemerlang di negeri Pahang.