26/05/2026
PERUTUSAN AIDILADHA 1447 / 2026
MENTERI BESAR KELANTAN DARUL NAIM
Firman Allah SWT:
قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡیَاۤۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجۡزِی ٱلۡمُحۡسِنِینَ ﴿١٠٥﴾ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلۡبَلَٰۤؤُا۟ ٱلۡمُبِینُ ﴿١٠٦﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu.” Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya ujian itu benar-benar suatu ujian yang nyata.
(Surah Aṣ-Ṣāffāt: 105-106)
Pengorbanan yang lahir daripada ketaatan mutlak kepada Allah SWT menjadi inti pati utama sambutan Hari Raya Aidiladha. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama puteranya, Nabi Ismail AS, yang diabadikan dalam al-Quran merupakan uswah hasanah yang mengajar umat Islam tentang makna sebenar pengabdian, keikhlasan dan penyerahan diri kepada Allah SWT.
Apabila direnungi dengan penuh keinsafan, Aidiladha sebenarnya mendidik umat Islam agar bermuhasabah sejauh manakah pengorbanan yang telah kita curahkan demi agama Allah SWT. Tatkala saudara seagama kita di pelbagai pelosok dunia terus dihimpit penderitaan, penindasan dan peperangan, apakah ia masih belum mampu membangkitkan semangat pengorbanan dalam diri kita? Atau kita telah merasa cukup sehingga tiada lagi kesediaan untuk berkorban demi meninggikan syiar Islam?
Oleh itu, pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan Saidatina Hajar AS sewajarnya menggerakkan hati nurani kita untuk bangkit membuktikan pengorbanan kepada Islam. Pelbagai cabaran dan kemelut yang melanda umat hari ini menuntut seluruh umat Islam agar terus berkorban tenaga, masa, harta dan jiwa demi mempertahankan agama serta membina sebuah kehidupan yang diredai Allah SWT.
Justeru, Aidiladha bukan sekadar perayaan untuk berhimpun dan menikmati juadah bersama keluarga, bahkan ia merupakan madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam tentang hakikat pengorbanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT. Antara ibrah besar yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan ialah:
Pertama, kecintaan kepada Allah SWT hendaklah mengatasi segala kecintaan terhadap dunia dan seisinya. Inilah hakikat takwa yang sebenar, apabila kepentingan agama didahulukan mengatasi kehendak dan kepentingan diri.
Kedua, ketaatan tanpa syarat merupakan tanda keimanan yang sejati. Setiap ujian yang dihadapi oleh orang beriman pasti disertai ganjaran besar daripada Allah SWT atas kesabaran dan kepatuhan mereka terhadap perintah-Nya.
Ketiga, ibadah korban turut mengajar nilai kepedulian sosial dan solidariti ummah. Pengagihan daging korban menyemai roh kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Semangat inilah yang mampu memperkukuhkan perpaduan serta merapatkan jurang sosial dalam masyarakat.
Dalam kegembiraan menyambut Aidiladha bersama keluarga dan sanak saudara, marilah kita terus menzahirkan solidariti terhadap perjuangan saudara-saudara kita di bumi al-Quds serta umat Islam yang tertindas di seluruh dunia. Pengorbanan mereka dalam mempertahankan aqidah, maruah dan tanah air daripada cengkaman penjajah merupakan gambaran nyata sebuah pengorbanan yang hakiki.
Pada kesempatan yang penuh bermakna ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh rakyat negeri Kelantan Darul Naim, termasuk anak-anak perantauan serta para jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci. Mudah-mudahan setiap ibadah, pengorbanan dan amal soleh yang kita laksanakan diterima oleh Allah SWT, seterusnya dikurniakan keberkatan, keamanan dan kesejahteraan buat negeri dan negara yang kita cintai.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Sekian, terima kasih.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud
Menteri Besar Kelantan
9 Zulhijjah 1447H
26 Mei 2026 (Selasa)