14/05/2026
25 Zulkaedah 1447, 13 Mei 2026 - YAB Ustaz Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan memulakan lawatan kerja ke Indonesia menerusi kunjungan rasmi kepada Gubernur DKI Jakarta, Dr Pramono Anung Wibowo di Jakarta City Hall.
Delegasi Kerajaan Negeri Kelantan disambut mesra oleh pihak pentadbiran Jakarta, sekali gus mencerminkan keakraban hubungan serumpun antara Kelantan dan Jakarta yang terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan strategik dua hala tersebut ialah usaha memperkembangkan sektor pelancongan melibatkan pelancongan ilmu, warisan, budaya dan kesihatan.
Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap kerjasama dalam memelihara sejarah Melayu-Islam serta manuskrip lama, di samping memperhalusi peluang pelaburan bagi memperkukuh jaringan perdagangan antara Kelantan dan Jakarta demi memastikan hubungan ekonomi kedua-dua wilayah terus kukuh dan berdaya saing.
YAB Ustaz Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan berkata, Negeri Kelantan memiliki potensi dan kelebihan yang masih luas untuk diterokai serta dikembangkan menerusi jaringan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap hasil kerjasama yang terjalin akan memberi impak bermakna kepada pembangunan negeri, sekali gus meningkatkan taraf kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah YBM Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YBhg. Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Kelantan serta YABrs. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN).